Tag Archives: PRE2020

Tenaga Nasional Berhad Prihatin FAQ

1. Apakah Diskaun Bil Elektrik Yang Boleh Saya Perolehi Berikutan Penularan Wabak COVID-19?

  • Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020) yang diumumkan oleh Kerajaan pada 27 Februari 2020, enam (6) sektor perniagaan terpilih yang terjejas berikutan penularan wabak COVID-19 akan menerima diskaun 15% bagi penggunaan elektrik untuk tempoh 1 April sehingga 30 September 2020.
  • Pada 16 Mac 2020, Kerajaan telah memutuskan untuk memberi diskaun 2% kepada semua pengguna lain dalam kategori perdagangan, perindustrian dan pertanian spesifik serta pengguna domestik bagi penggunaan elektrik untuk tempoh 1 April sehingga 30 September 2020.
  • Pada 27 Mac 2020, di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pemberian diskaun tambahan kepada pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dengan memberi tumpuan kepada pengguna yang menggunakan elektrik sehingga 600kWh atau RM231.80 sebulan. Kadar diskaun adalah di antara 15% hingga 50% bergantung kepada jumlah penggunaan elektrik masing-masing bermula penggunaan 1 April hingga 30 September 2020.

2. Siapakah yang layak menerima diskaun bil elektrik di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN)?

Pengguna-pengguna dari kategori berikut layak menerima diskaun ke atas bil elektrik mulai penggunaan 1 April hingga 30 September 2020:

  • Perdagangan
  • Perindustrian
  • Pertanian Spesifik
  • Domestik / Kediaman

Nota: Pemegang Lesen Awam Pengagihan dengan Tarif Khas (Tarif Bulk) adalah tidak termasuk dalam kategori pengguna yang menerima diskaun daripada TNB.

3. Berapakah jumlah diskaun yang akan diberi?

Peratus diskaun yang akan diterima oleh pengguna adalah berdasarkan sektor perniagaan terpilih, kategori pengguna dan jumlah penggunaan seperti berikut:

4. Bilakah tempoh layak menerima diskaun bil elektrik ini?

Diskaun bil elektrik di bawah PRE2020 dan PRIHATIN adalah diberikan untuk tempoh enam (6) bulan mulai penggunaan elektrik 1 April sehingga 30 September 2020 untuk semua kadar diskaun.

Ini bermakna bagi bil elektrik yang diterima dalam bulan April dan meliputi penggunaan elektrik untuk bulan Mac 2020 dan April 2020, diskaun akan dikira secara prorata berdasarkan penggunaan dalam bulan April 2020. Sekiranya bil yang diterima dalam bulan April 2020 hanya meliputi penggunaan sehingga 31 Mac 2020, tiada diskaun yang akan diterima oleh pengguna bagi bil tersebut.

5.  Apakah jenis-jenis tarif yang layak menerima diskaun bil elektrik?

KATEGORI PENGGUNA TARIF KADAR DISKAUN
Kediaman
Jumlah penggunaan sebulan:

  • Di antara 1-200kWh atau sehingga RM43.60
  • Di antara 201-300kWh atau RM43.70 hingga RM77.00
  • Di antara 301-600kWh atau RM77.10 hingga RM231.80
  • Melebihi 600kWh atau melebihi RM231.80
A

50%
25%
15%
2%

Perindustrian D, E1, E2, E3 dan
Perjanjian Khas*
2%
Pertanian Spesifik H, H1 dan H2 2%
Perdagangan

  • 6 sektor perniagaan terpilih
B, C1, C2 dan
Perjanjian Khas*
15%
Perdagangan

  • Semua pengguna selain daripada 6 sektor perniagaan terpilih
B, C1, C2 dan
Perjanjian Khas*
2%

*Tertakluk kepada terma dan syarat oleh Kerajaan. Perjanjian Khas adalah merujuk kepada pengguna seperti pengguna co-generator, pengguna di pulau-pulau dengan Tarif Khas, pengguna-pengguna keretapi ber-rel seperti KTM double track, MRT, LRT, ERL dan seumpamanya.

6.  Apakah jenis pengguna Perjanjian Khas yang layak menerima diskaun bil elektrik?

Perjanjian Khas yang layak mendapat diskaun adalah merujuk kepada pengguna seperti pengguna co-generator, pengguna di pulau-pulau dengan Tarif Khas, pengguna-pengguna keretapi ber-rel seperti KTM double track, MRT, LRT, ERL dan seumpamanya. Walau bagaimanapun, pemegang Lesen Awam Pengagihan (LAP) dengan Tarif Perjanjian Khas (Tariff Bulk) tidak termasuk dalam senarai penerima diskaun bil elektrik.

7. Apakah sektor perniagaan yang layak menerima diskaun sebanyak 15%?

Enam (6) sektor perniagaan terpilih yang telah dikenalpasti oleh Kerajaan bagi diskaun 15% ialah:

  1. Pengendali Hotel
  2. Pengembaraan dan Pelancongan
  3. Pejabat Syarikat Penerbangan Tempatan
  4. Kompleks Membeli-belah
  5. Pusat Konvensyen
  6. Taman Tema

(Nota: hanya untuk akaun di bawah Tarif Perdagangan sahaja iaitu Tarif B, C1, atau C2 sahaja)

8. Adakah saya layak untuk menerima diskaun 15% untuk kesemua akaun berdaftar sekiranya mempunyai lebih dari satu akaun elektrik?

Ya. Bagi pengguna yang mempunyai lebih daripada satu akaun berdaftar dalam enam (6) sektor perniagaan terpilih dan semua akaun telah disahkan layak oleh Kerajaan, maka kesemua akaun tersebut adalah layak menerima diskaun bil elektrik 15%.

9. Saya mendapatkan perkhidmatan bekalan elektrik daripada pembekal lain selain Tenaga Nasional Berhad (TNB). Adakah saya juga layak menerima diskaun bil elektrik 15%?

Ya. Pengguna dalam enam (6) sektor perniagaan terpilih yang disahkan oleh Kerajaan layak menerima diskaun bil elektrik 15% daripada pembekal elektrik masing-masing.

10. Saya merupakan pengendali pelancongan tetapi saya tidak mempunyai akaun yang berdaftar dengan TNB kerana saya menyewa premis perniagaan. Bagaimanakah saya boleh memohon diskaun 15% tersebut?

Pengguna dari kategori pengendali pelancongan atau mana-mana kategori perniagaan terpilih lain dan tidak mempunyai akaun berdaftar dengan pihak TNB boleh memohon diskaun 15% dengan mengambil tindakan seperti berikut:

  1. Lengkapkan Borang Permohonan Diskaun 15% yang boleh dimuat turun disini
  2. Sila pastikan setiap borang permohonan yang lengkap disertakan bersama-sama dengan dokumen sokongan seperti berikut:
    • Salinan Borang 9 (Borang Pendaftaran Syarikat);
    • Salinan Lesen Perniagaan yang sah tempoh; dan
    • Salinan bil elektrik
  3. Majukan borang yang telah dilengkapkan kepada:
    • e-mel kepada TNB CareLine di tnbcareline@tnb.com.my atau
    • Kedai Tenaga yang berdekatan (selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan)

Seterusnya, TNB akan memajukan permohonan yang lengkap kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi tujuan semakan dan pengesahan kelayakan pengguna untuk mendapat diskaun 15%. Bagi permohonan yang diluluskan dan layak, pihak TNB akan mengemaskini maklumat kelayakan dalam sistem pembilan TNB.

Maklumat pengguna yang layak akan dikemaskini dalam laman sesawang Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Pengguna boleh menyemak status kelayakan diskaun 15% di laman sesawang Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA)

11. Saya termasuk dalam enam (6) sektor perniagaan yang layak menerima diskaun 15% tetapi apabila menyemak penggunaan elektrik saya untuk bulan April 2020, saya dapati tiada diskaun diberikan. Bagaimana saya boleh memohon diskaun tersebut?

Pengguna dari 6 sektor perniagaan terpilih di mana akaun elektrik mereka tidak termasuk dalam senarai awal yang diluluskan Kerajaan, boleh membuat rayuan dengan mengambil langkah-langkah seperti berikut:

  1. Lengkapkan Borang Permohonan Diskaun 15% yang boleh dimuat turun disini.
  2. Sila pastikan setiap borang permohonan yang lengkap disertakan bersama-sama dengan dokumen sokongan seperti berikut:
    • Salinan Borang 9 (Borang Pendaftaran Syarikat);
    • Salinan Lesen Perniagaan yang sah tempoh; dan
    • Salinan bil elektrik
  3. Majukan borang yang telah dilengkapkan kepada:
    • e-mel kepada TNB CareLine di tnbcareline@tnb.com.my atau
    • Kedai Tenaga yang berdekatan (selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan)

Seterusnya, TNB akan memajukan permohonan yang lengkap kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi tujuan semakan dan pengesahan kelayakan pengguna untuk mendapat diskaun 15%. Bagi permohonan yang diluluskan dan layak, pihak TNB akan mengemaskini maklumat kelayakan dalam sistem pembilan TNB.

Maklumat pengguna yang layak akan dikemaskini dalam laman sesawang Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Pengguna boleh menyemak status kelayakan diskaun 15% di laman sesawang KETSA.

Pihak TNB atau pemegang lesen berkaitan akan memberi diskaun bil elektrik 15% dalam pembilan bulan seterusnya setelah akaun pengguna diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

12. Di manakah saya perlu menghantar borang permohonan rayuan diskaun 15%?

Borang permohonan yang lengkap dengan dokumen sokongan yang diperlukan boleh dihantar kepada saluran berikut:

  • e-mel kepada TNB CareLine di tnbcareline@tnb.com.my atau
  • Kedai Tenaga yang berdekatan (selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan)

Pihak TNB akan majukan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi tujuan semakan dan pengesahan.

13. Apakah tindakan yang perlu diambil oleh pengguna yang tiada dalam senarai pihak Kerajaan untuk melayakkan mereka menerima diskaun 15% ini?

Bagi pengguna di bawah enam (6) sektor perniagaan terpilih yang tidak tersenarai dalam senarai awal yang disahkan layak oleh pihak Kerajaan, pengguna boleh mengemukakan rayuan dengan mengambil tindakan seperti dinyatakan di Soalan 11.

14. Bagaimanakah proses pelaksanaan pemberian diskaun 15% bagi pengguna-pengguna yang layak tetapi tidak menerima diskaun 15%?

Pengguna boleh mengemukakan rayuan melalui proses seperti berikut:

PROSES RAYUAN DISKAUN 15%
1. PENGISIAN BORANG PERMOHONAN DISKAUN 15% 2. PROSES PENGESAHAN PERMOHONAN PENGGUNA 3. PEMBILAN DISKAUN 15%
Pengguna di bawah 6 sektor perniagaan terpilih yang tidak tersenarai dalam senarai awal yang disahkan oleh pihak Kerajaan, boleh membuat permohonan seperti di Soalan 11. Semakan dan pengesahan kelayakan pengguna akan dibuat oleh SSM.Setiap permohonan perlu disertakan bersama dengan dokumen sokongan yang lengkap seperti berikut:

  • Salinan Borang 9 (Borang Pendaftaran Syarikat);
  • Salinan Lesen Perniagaan yang sah tempoh; dan
  • Salinan bil elektrik.

Permohonan yang telah disahkan oleh SSM akan dimasukkan ke dalam Sistem Pembilan TNB.

Pengguna akan menerima diskaun 15% bermula dari tarikh 1 April 2020 atau dari tarikh TNB menerima maklumat pengguna yang telah disahkan (mana yang terkemudian) sehingga 30 September 2020.

15. Jika permohonan saya bagi diskaun bil elektrik 15% diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia selepas 1 April 2020, bolehkah saya membuat tuntutan diskaun bil elektrik 15% bermula dari 1 April 2020?

Tidak. Pengguna hanya layak menikmati diskaun bil elektrik 15% bermula dari pembilan seterusnya selepas pihak TNB menerima maklumat pengesahan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan akaun berjaya dimasukkan ke dalam Sistem Pembilan TNB.

16. Sekiranya permohonan saya bagi diskaun bil elektrik 15% diluluskan, adakah saya layak menerima diskaun 15% dan diskaun 2% dalam masa yang sama?

Tidak. Pengguna dari 6 sektor perniagaan terpilih dengan tarif perdagangan hanya layak menerima satu (1) jenis diskaun sahaja. Jika pengguna telah menerima diskaun 2% dan kemudiannya disahkan layak untuk menerima diskaun 15%, maka TNB akan menukar kadar diskaun daripada 2% kepada 15% secara automatik. Pengguna akan mula menikmati diskaun 15% mulai bil bulan berikutnya.

17. Dimanakah saya boleh membuat semakan sama ada akaun elektrik saya telah tersenarai untuk menerima diskaun bil elektrik 15%?

Anda boleh membuat semakan kelayakan di laman sesawang Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) dengan memasukkan nombor akaun elektrik berdaftar anda.

18. Adakah pemberian diskaun bil elektrik 15% diberi secara automatik?

Ya. Pemberian diskaun 15% diberi secara automatik kepada pengguna dalam 6 sektor perniagaan terpilih di mana akaun elektrik mereka telah diluluskan oleh pihak Kerajaan.

Bagi pengguna dalam 6 sektor perniagaan terpilih yang akaun elektrik mereka tidak termasuk dalam senarai yang telah diluluskan, pengguna boleh membuat rayuan melalui proses seperti dinyatakan di Soalan 11 di atas.

19. Adakah pengguna elektrik yang menerima diskaun 2% perlu membuat pengesahan kelayakan?

Tidak. Diskaun 2% diberikan secara automatik kepada semua pengguna elektrik berdaftar dengan TNB di bawah kategori Perdagangan (selain daripada 6 sektor perniagaan terpilih yang layak menerima diskaun bil elektrik 15%), Perindustrian dan Pertanian Spesifik.

20. Saya adalah pengguna domestik. Apakah yang perlu saya lakukan untuk mendapatkan diskaun?

Pengguna domestik tidak perlu mengambil apa-apa tindakan. Diskaun diberikan secara automatik kepada semua pengguna domestik yang berdaftar dengan TNB atau mana-mana pembekal elektrik berdasarkan jumlah penggunaan elektrik untuk tempoh penggunaan mulai 1 April hingga 30 September 2020.

21. Saya adalah pengguna domestik. Berapakah kadar diskaun yang layak saya terima samada 50%, 25%, 15% atau 2%?

Pengguna domestik di Semenanjung Malaysia layak menerima diskaun ini secara automatik seperti jadual di bawah:

JUMLAH PENGGUNAAN SEBULAN BAGI PENGGUNA DOMESTIK (KEDIAMAN) KADAR DISKAUN
1 hingga 200 kWh atau sehingga RM43.60 50%
201 hingga 300kWh atau RM43.70 sehingga RM77 25%
301 hingga 600kWh atau RM77.10 sehingga RM231.80 15%
Lebih dari 600kWh atau RM231.90 dan ke atas 2%

Kelayakan diskaun adalah berdasarkan jumlah penggunaan elektrik bulanan. Contoh, sekiranya penggunaan elektrik bulanan adalah 300kWh maka pengguna akan mendapat diskaun sebanyak 25% ke atas bil mereka.

22. Sekiranya saya menerima diskaun 50% kerana menggunakan elektrik kurang dari 200kWh, adakah saya juga akan menerima diskaun 2%?

Tidak. Diskaun 2% yang diumumkan terdahulu oleh Kerajaan pada 16 Mac 2020 adalah termasuk di dalam diskaun tambahan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 27 Mac 2020.

23. Bagaimanakah operasi pengebilan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan memberi kesan kepada diskaun bil elektrik?

Demi keselamatan pengguna dan warga kerja utiliti, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), operasi bacaan meter dan penghantaran bil fizikal ke premis dihentikan. Bil elektrik akan dikira secara anggaran berdasarkan penggunaan bulan sebelumnya. Diskaun bil elektrik pula akan dikira berdasarkan bil anggaran tersebut. Pelarasan bil dan diskaun yang berkenaan akan dibuat setelah bil bacaan sebenar diperolehi.

Pengguna LPC yang mempunyai meter RMR dan pengguna meter pintar (smart meter) akan menerima bil elektrik dengan bacaan sebenar berserta diskaun berdasarkan bil bacaan sebenar. Namun, sekiranya bacaan gagal diperolehi, bil anggaran akan dikeluarkan. Diskaun bil elektrik pula akan dikira berdasarkan bil anggaran tersebut. Pelarasan bil dan diskaun yang berkenaan akan dibuat setelah bil bacaan sebenar diperolehi.

Bagi pengguna yang masih menerima bil anggaran selepas tempoh PKP, pelarasan diskaun akan dibuat setakat pembilan 31 Disember 2020 sahaja. Sekiranya bil sehingga pembilan 31 Disember 2020 masih berstatus anggaran atau E, maka diskaun yang telah diberikan dianggap muktamad dan tiada lagi pelarasan akan dibuat setelah bil sebenar diperolehi.

24. Apakah tindakan TNB bagi memastikan pengguna menerima bil elektrik sepanjang tempoh PKP ini?

Walaupun Pembaca Meter TNB tidak membuat bacaan meter di premis sepanjang tempoh PKP ini, TNB akan mengeluarkan bil anggaran kepada pengguna berdasarkan penggunaan bulan sebelumnya. Pengguna boleh mendapatkan salinan bil melalui aplikasi dan portal myTNB.

25. Bagaimanakah TNB memastikan saya mendapat diskaun bil elektrik yang sepatutnya sepanjang tempoh PKP ini?

Pihak TNB akan memastikan agar proses pengebilan dan pemberian diskaun akan diteruskan walaupun menghadapi sedikit kekangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pelarasan bil akan dilaksanakan apabila bacaan sebenar diperolehi selepas tempoh PKP tamat.

26. Bagaimanakah pengiraan diskaun bil elektrik dibuat?

Diskaun bil elektrik dikira seperti berikut:

Diskaun  = % Diskaun  x  Caj dalam RM (kW + kWh) + ICPT +  Diskaun Lain (Sekiranya Ada)

Keterangan:

JENIS CAJ KETERANGAN
kWh Caj Penggunaan Elektrik
kW Caj Kehendak Maksimum
ICPT Imbalance Cost Pass Through atau Pelepasan Imbangan Kos Bahan Api dan Penjanaan
Diskaun lain Diskaun Sediada seperti 10% dan Diskaun 20% untuk TASKA

Nota: Jenis caj yang tidak diambilkira untuk Diskaun Bil Elektrik ialah Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu, Surcaj Angkadar Kuasa, Penalti Lewat Bayar, Surcaj Alat Kimpal, Deposit, Tambahan, Lampu Jalan Individu, Caj Minimum Bulanan, myGreen+ dan Caj Bekalan Sementara.

Contoh-contoh pengiraan diskaun bil elektrik pengguna adalah:

Contoh 1: Berdasarkan Bacaan Sebenar Bagi Pengguna Tarif Perdagangan Yang Layak Menerima Diskaun 15% (Penggunaan selepas 1 April 2020)

Pengiraan Diskaun = % Diskaun x (Caj Penggunaan kWh + Caj ICPT)
= 15% x (RM1,565.14 + 62.08)
Jumlah diskaun diterima = (RM 244.08)
Contoh 2 – Berdasarkan Bacaan Sebenar Bagi Pengguna Domestik Dengan Jumlah Penggunaan > 600 kWh (Penggunaan Selepas 1 April 2020)

Pengiraan Diskaun = % Diskaun x (Caj Penggunaan kWh + Caj ICPT)
= 2% x RM 309.88
Jumlah diskaun diterima = (RM 6.20)
Contoh 3 – Berdasarkan Bacaan Sebenar Bagi Pengguna Domestik Dengan Jumlah Penggunaan Antara 201kWh hingga 300 kWh (Penggunaan Selepas 1 April 2020)

Pengiraan Diskaun = % Diskaun x (Caj Penggunaan kWh + Caj ICPT)
= 25% x RM62.64
Jumlah diskaun diterima = (RM 15.66)

27. TNB memaklumkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bil anggaran akan dikeluarkan. Adakah saya sebagai Pengguna Perdagangan masih layak menerima diskaun yang dinyatakan di atas di dalam bil anggaran saya?

Ya. Diskaun tersebut akan dimasukkan di dalam bil anggaran di mana pengiraan diskaun akan dibuat secara prorata dengan mengambilkira penggunaan elektrik mulai 1 April 2020.

Contoh pengiraan bil anggaran bagi pengguna perdagangan dalam tempoh PKP dan melibatkan tempoh peralihan (Mac – April 2020) adalah seperti berikut:

Bagi bil yang melibatkan penggunaan sebelum dan selepas 1 April 2020, kelayakan diskaun akan dikira berdasarkan dua langkah berikut:

  1. Tentukan jumlah bil bagi penggunaan selepas 1 April 2020 untuk diberikan diskaun
  2. Tentukan % dan jumlah diskaun yang layak berdasarkan kategori pengguna

Langkah 1: Tentukan jumlah bil bagi penggunaan selepas 1 April 2020 untuk diberikan diskaun

Komponen bil untuk pengiraan diskaun = Caj Penggunaan kWj + ICPT
= RM419.38 + RM17.06
A :Jumlah bil untuk pengiraan diskaun = RM436.44
B : Bilangan hari dalam bulan April = 1.04.2020 hingga 7.04.2020
= 7 hari
C : Tempoh Pembilan = 31 hari
D : Prorata Hari Layak Diskaun = B/C = 7hari / 31hari
= 0.22581

Langkah 2: Tentukan % dan jumlah diskaun yang layak berdasarkan kategori pengguna

E : Jumlah bil layak mendapat diskaun (penggunaan April 20 sahaja)
=A*D
= RM436.44 X 0.22581
= RM98.55
2% Diskaun Rangsangan Ekonomi =
= 2%*E
= 2% x RM98.55
=(RM1.97)

28. Rumah Kediaman saya telah menerima bil anggaran dengan diskaun elektrik bagi tempoh PKP. Adakah saya akan menerima diskaun elektrik apabila menerima bil dengan bacaan sebenar?

Ya. Bil anggaran yang dikeluarkan akan diselaraskan apabila bacaan sebenar diperolehi. Pelarasan juga akan dibuat ke atas diskaun elektrik.

Bagi pengguna kediaman yang mana bil mereka melibatkan penggunaan sebelum dan selepas 1 April 2020, kelayakan diskaun akan dikira berdasarkan empat langkah berikut:

  • Tentukan jumlah bil bagi penggunaan selepas 1 April 2020 untuk diberikan diskaun
  • Tentukan jumlah kegunaan bagi setiap band berdasarkan prorata tempoh bacaan
  • Kira % diskaun yang layak berdasarkan band yang telah diprorata
  • Selaraskan bil anggaran sebelum ini di mana pengguna telah dicajkan diskaun dalam bulan sebelumnya berdasarkan anggaran

Contoh: Pengguna Kediaman dengan bil sebenar setelah menerima bil anggaran pada bulan sebelumnya. Butiran pembilan ada seperti berikut:

Tempoh pembilan = 08.03.2020 – 06.05.2020 (60 Hari)
Jenis Pembilan Semasa = Bil Sebenar
Jenis Pembilan Terdahulu = Bil Anggaran
Jumlah Bil Anggaran Terdahulu = RM229.14

Langkah 1: Tentukan Jumlah Bil Layak Diskaun (Penggunaan Selepas 1 April 2020)

Komponen bil untuk pengiraan diskaun = Caj Penggunaan kWh
= RM 480.63
A :Jumlah bil untuk pengiraan diskaun = RM 480.63
B : Bilangan hari dalam bulan April & Mei = 1.04.2020 hingga 6.05.2020
= 36 hari
C : Tempoh Pembilan = 60 hari
D : Prorata Hari Layak Diskaun = B/C = 0.60000
E : Jumlah bil layak mendapat diskaun (penggunaan April sahaja)
=A*D
= RM288.38

Langkah 2: Tentukan Jumlah Kegunaan Bagi Setiap Band Berdasarkan Prorata Tempoh Bacaan

Pengiraan Penentuan Threshold Diskaun selepas 1 April
F: Faktor Prorata
= Tempoh Pembilan selepas 1 April / 30 hari
= 36 hari/30 hari = 1.20000
G: Pengiraan  Threshold Bagi Band Penggunaan

0-200 kWh      = 50%
201-300 kWh  = 25%
301-600 kWh  = 15%
> 600 kWh      = 2%

= Band kWh x F

= 200 x 1.2 = 240 kWh
= 300 x 1.2  = 360 kWh
= 600 x 1.2  = 720 kWh
> 720 kWh

Jumlah Kegunaan selepas 1 April 2020 = D x Jumlah Kegunaan (8.3.2020 – 6.5.2020)
= 36 hari / 60 hari x 1,223 kWh
= 0.60000 x 1,233 kWh
= 740 kWh
Memandangkan Jumlah Kegunaan 740 kWh > 720 kWh, maka diskaun yang layak diterima adalah = 2%

Langkah 3: Kira % dan jumlah diskaun yang layak berdasarkan band yang telah diprorata tempoh bacaan

2% Diskaun Rangsangan Ekonomi = 2% x RM 288.38
= 2%*E = (RM 5.77)

Langkah 4: Selaraskan bil yang telah dicajkan semasa tempoh anggaran

Kegunaan = RM480.63 – RM5.77
Pelarasan Anggaran = (RM 229.14)
Kegunaan Bulan Semasa = RM245.72

29. Adakah terdapat had masa bagi pelarasan diskaun untuk bil anggaran?

Bagi pengguna yang menerima bil anggaran (E bill), pelarasan diskaun akan dibuat setakat pembilan 31 Disember 2020 sahaja. Sekiranya bil sehingga pembilan Disember 2020 masih berstatus E, maka diskaun yang telah diberikan dianggap muktamad dan tiada lagi pelarasan akan dibuat setelah bil sebenar diperolehi.

30. Siapakah yang boleh dihubungi untuk mendapatkan maklumat diskaun Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020) dengan lebih lanjut?

TNB CareLine 1-300-88-5454
tnbcareline@tnb.com.my
Hotline myGCC 03-8000 8000
Hotline Sekretariat PRE2020 03-8882 9089