i-SINAR KWSP: LEBIH RAMAI MENERIMA MANFAAT

PENGELUARAN MAKSIMUM BULAN PERTAMA ANTARA RM4,000 HINGGA RM10,000 DARI AKAUN 1

Mendokong semangat prihatin rakyat, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai bantuan dan insentif untuk membolehkan rakyat menghadapi cabaran-cabaran semasa ekoran penularan wabak COVID-19. Pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan sejak Mac 2020 – PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan, PENJANA dan KITA PRIHATIN bernilai RM305 bilion, termasuk Belanjawan 2021 dengan peruntukan terbesar dalam sejarah negara sebanyak RM322.5 bilion – adalah manifestasi komitmen Kerajaan untuk melindungi kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara berterusan.

Program i-Sinar yang telah diumumkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini adalah kesinambungan kepada program i-Lestari (pengeluaran simpanan Akaun 2) yang telah pertama dilancarkan KWSP pada Mac 2020. i-Sinar merupakan hasil beberapa sesi perbincangan yang telah diadakan bersama Kerajaan untuk memperhalusi dan menambah baik inisiatif pengeluaran Akaun 1 secara bersasar.

Di bawah i-Sinar, syarat pengeluaran adalah terbahagi kepada kategori simpanan Akaun 1 bawah RM90,000 dan kategori simpanan Akaun 1 melebihi RM90,000.

Buat kategori ahli KWSP yang memiliki simpanan Akaun 1 RM90,000 dan ke bawah, ahli boleh membuat pengeluaran secara beransur selama 6 bulan sehingga maksimum RM9,000; dengan pengeluaran pertama sehingga RM4,000. Pengeluaran bulanan seterusnya adalah pada tahap maksimum RM1,000 sebulan.

Buat kategori ahli yang mempunyai jumlah simpanan Akaun 1 melebihi RM90,000, ahli dibenarkan mengeluarkan secara ansuran selama 6 bulan sehingga maksimum RM60,000 (tertakluk kepada jumlah simpanan); dengan pengeluaran pertama sehingga RM10,000. Pengeluaran bulanan seterusnya adalah pada tahap maksimum RM10,000 sebulan.

Kerajaan berharap pendekatan ini bukan sahaja meringankan beban aliran tunai, tetapi dapat memenuhi keperluan rakyat dalam menghadapi cabaran semasa. Penambahbaikan ini telah dibuat berpandukan data dan analisa profil tanggungan ahli KWSP yang terkesan serta pertimbangan tren jangkitan COVID-19. Pendaftaran i-Sinar akan bermula pada bulan Disember 2020 dan pengeluaran pertama akan dilaksanakan mulai Januari 2021. Butiran lanjut boleh didapati di pautan www.kwsp.gov.my.

KWSP mensasarkan sehingga 2 juta ahli yang terkesan COVID-19 akan dapat memanfaatkan i-Sinar, iaitu golongan yang telah kehilangan pekerjaan, pekerja sektor formal yang tidak mampu mencarum selama 2-bulan berturut-turut, atau pekerja yang diberi cuti tanpa gaji oleh majikan.

Kerajaan ingin mengingatkan bahawa program i-Sinar akan berjalan serentak dengan beberapa lagi inisiatif dan bantuan menerusi KWSP, termasuk program i-Lestari dan pengurangan caruman bulanan oleh pekerja yang telah diumumkan dalam PRIHATIN dan Belanjawan 2021. Program i-Sinar dianggarkan bernilai sebanyak RM14 bilion, program i-Lestari RM30 bilion, pengurangan caruman pekerja kepada 7% (bagi tahun 2020) bernilai RM8 bilion dan pengurangan caruman kepada 9% (bagi tahun 2021) pula dianggarkan sebanyak RM9 bilion. Keseluruhannya, nilai inisiatif KWSP bagi membantu kelangsungan hidup rakyat bagi tahun 2020-2021 adalah berjumlah RM61 bilion.

Kerajaan sedar bahawa KWSP merupakan simpanan hari tua ahli, maka terdapat keperluan untuk mengimbangi antara bantuan untuk menghadapi cabaran masa kini dengan kepentingan persaraan untuk masa depan. Kerajaan yakin bahawa pendekatan yang diambil dapat mengimbangi keperluan- keperluan ini. KWSP memberi jaminan bahawa usaha akan diteruskan untuk memenuhi mandat kepada ahlinya iaitu mengukuhkan jaringan perlindungan sosial melalui pelaburan dan pembangunan secara lebih strategik.

KWSP memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara secara langsung dan tidak langsung. Antara lain, KWSP memegang 30% bon kerajaan, 25% bon korporat dan 10% dalam pasaran ekuiti. Dalam hal ini, kebolehan KWSP untuk terus menyokong usaha Kerajaan dalam melindungi rakyat dan pembangunan negara adalah hasil kecekapan pengurusan dan ketelusan kawalan selia yang berterusan sejak dahulu lagi. Kerajaan berterima kasih kepada KWSP dalam perkara ini.

Kerajaan juga ingin mengingatkan bahawa bantuan-bantuan lain bagi melindungi rakyat di bawah PRIHATIN, PENJANA dan KITA PRIHATIN serta Belanjawan 2021 masih berjalan atau bakal dilaksanakan tidak lama lagi. Ini termasuk bayaran fasa kedua BPN 2.0, pembayaran rayuan Bantuan Sara Hidup 2020, pembayaran Geran Khas Prihatin 2.0, Program Subsidi Upah 2.0, Bantuan Prihatin Rakyat dan pelbagai lagi. Dalam hal ini, Kerajaan tidak pernah berkompromi dalam usaha melindungi nyawa dan kehidupan rakyat.

#TeguhKita #MenangBersama

Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
16 November 2020

Bantuan Khas COVID 19 Bantuan KWSP Bantuan Perkeso Bantuan Prihatin Nasional Bantuan Sara Hidup Bantuan Sara Hidup Rakyat BSH BSH 2020 Communication ePenjana Genting Highland i-Sinar Kuala Lumpur Local News Malaysia Malaysia News My Sejahtera MySalam MyTrace Malaysia Negeri Sembilan News Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat Penang Port Dickson Prihatin Prihatin PKS+ Program Subsidi Upah Putrajaya Seremban Seremban 2 SKIM KHAIRAT KEMATIAN