Pengendalian Moratorium bagi Pinjaman Sewa Beli dan Pembiayaan Islam Berkadar Tetap

Susulan daripada pengumuman oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 25 Mac 2020 yang lalu, institusi perbankan sedang dalam proses memformalkan perjanjian-perjanjian bagi mencerminkan semakan terhadap syarat pembayaran balik dengan pihak peminjam/pelanggan yang mempunyai pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap bagi pelaksanaan moratorium 6 bulan untuk pembayaran pinjaman/pembiayaan. Langkah ini adalah bagi memenuhi keperluan prosedur di bawah Akta Sewa Beli 1967 dan keperluan Syariah yang terpakai bagi apa-apa perubahan yang dibuat terhadap syarat perjanjian-perjanjian tersebut, termasuk perubahan kepada jadual pembayaran dan/atau jumlah pembayaran berikutan moratorium ini.
Sehubungan dengan itu, BNM telah meminta institusi perbankan untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan peminjam/pelanggan diberikan maklumat yang jelas mengenai proses dan perubahan terhadap syarat perjanjian mereka, selain menetapkan cara paling sesuai dan mudah untuk memuktamadkan perjanjian-perjanjian tersebut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Bermula pada 1 Mei 2020, peminjam/pelanggan yang mempunyai pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap akan menerima notis pemberitahuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel atau surat berdaftar daripada institusi perbankan mereka berhubung dengan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyempurnakan proses penangguhan pembayaran pinjaman/pembiayaan mereka di bawah moratorium ini. Institusi perbankan juga akan menyediakan bagi setiap peminjam/pelanggan maklumat terperinci mengenai perubahan yang dibuat terhadap setiap perjanjian pinjaman sewa beli atau pembiayaan Islam berkadar tetap mereka. Maklumat tersebut mengandungi jadual pembayaran balik semakan dan apa-apa perubahan terhadap jumlah pembayaran, yang meliputi jumlah kadar faedah/keuntungan biasa yang terakru sepanjang tempoh moratorium.
Peminjam/pelanggan yang tidak berhasrat untuk mengambil moratorium kini boleh memaklumkan kepada institusi perbankan mereka dan meneruskan semula pembayaran berjadual mengikut syarat perjanjian mereka yang sedia ada. Dalam hal ini, institusi perbankan akan memberikan masa yang mencukupi kepada peminjam/pelanggan mereka untuk menjelaskan apa-apa bayaran terkumpul/tertunggak yang sebelum ini ditangguhkan di bawah tempoh moratorium. Institusi perbankan tidak akan mengenakan caj bayaran tertunggak atau bayaran lewat ke atas pembayaran tertangguh tersebut sehinggalah masa pembayaran perlu dibuat mengikut jadual pembayaran semakan yang disetujui dengan peminjam/pelanggan.
Peminjam/pelanggan digalakkan untuk merujuk laman sesawang, portal perbankan internet atau pusat hubungan institusi perbankan mereka untuk maklumat lanjut.
Bank Negara Malaysia
30 Apr 2020

Business Solution Communication COVID-19 Information Kuala Lumpur Local News Malaysia Malaysia News MCO Solution Negeri Sembilan News Technology